65%
orang yang memerlukan nasihat dicapai
71%
peningkatan trafik tapak web
15%
derma dalam talian & pendaftaran sukarelawan
Elder Wisdom Circle ialah program antara generasi secara dalam talian yang menggandingkan sukarelawan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dengan generasi muda yang ingin mendapatkan nasihat empatetik dan berguna. Matlamat EWC adalah untuk memberikan panduan yang berguna kepada golongan remaja sambil mengubah pandangan mereka terhadap generasi yang lebih tua. Objektif bagi warga emas ini adalah untuk mewujudkan organisasi yang membuat mereka berasa diterima, berguna dan dihargai.
Salah satu matlamat utama EWC adalah mencari golongan muda yang memerlukan nasihat dan ingin mendengar kata-kata hikmah daripada orang dewasa yang sebaya dengan datuk atau nenek mereka. Di samping itu, EWC berhasrat untuk mencapai penyokong berpotensi yang mungkin tahu atau tidak tahu tentang model unik mereka, dengan harapan mereka akan menjadi penderma atau sukarelawan. Doug Meckelson, Pengasas dan Presiden organisasi ini, menyedari bahawa khalayak sasaran mereka iaitu remaja yang ingin mendapatkan nasihat, boleh ditemui dalam talian, jadi beliau menjadi pengguna awal program Google Ad Grants. Kempen yang berjaya ini telah membelanjakan geran standard berjumlah $10,000/bulan dengan cepat, malah prestasi akaun yang kukuh, strategi yang menarik dan kesan yang positif kepada masyarakat telah melayakkan EWC diterima untuk menyertai program Grantspro dengan geran tambahan sebanyak $40,000/bulan. Dengan menggunakan Analitis, Doug mendapati peningkatan jumlah pengunjung ke tapak web datang daripada rangkaian mudah alih: 17%, iaitu meningkat daripada 8% pada tahun sebelumnya. Maka pada bulan November 2013, Doug membuat peningkatan kepada tapak web yang dioptimumkan untuk mudah alih supaya sentiasa terkini dengan trend demografi sasaran mereka yang cenderung menggunakan peranti mudah alih.
Sebagai penerima Grantspro, Doug menggunakan Analitis dan Penjejakan Penukaran untuk memantau arah aliran serta membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diperoleh. Beliau turut mendapati bahawa sebahagian besar trafik ke tapak web EWC dijana daripada kempen Google Ads mereka. Tahun lepas, 71% daripada pengunjung keseluruhan dan 65% daripada individu yang mendapatkan nasihat ialah rujukan daripada Google Ads. Dengan Grantspro, EWC dapat mencapai 240% penyokong lagi sepanjang tahun lalu, berbanding dengan rujukan yang diterima daripada geran standard mereka. Pencapaian ini membantu EWC menyediakan khidmat nasihat kepada 8,000 individu lagi dan menghasilkan 12,000 jam khidmat sukarela tambahan untuk warga emas. Selain itu, 15% daripada derma dan 15% daripada permohonan sukarelawan berasal daripada pengguna yang menemui EWC buat kali pertama melalui Google Ads. Berikutan peruntukan tambahan Grantspro, Doug seterusnya merancang cara menyasarkan golongan yang memerlukan bimbingan dan nasihat dari negara lain dengan lebih berkesan, memandangkan sebelum ini kegiatan EWC hanya tertumpu di Amerika Utara. Untuk memastikan belanjawan tambahan dimanfaatkan sebaik-baiknya, beliau menggunakan Analitis untuk mengenal pasti sumber trafik dan kata kunci yang paling berkesan, lalu mengoptimumkan kempen berdasarkan data ini secara rutin.
“Tanpa kempen Google Ads kami, Elder Wisdom Circle mungkin tidak akan wujud lagi. Tidak ada pengiklanan lain yang berdaya maju untuk organisasi bukan untung kami yang mampu menghasikan kejayaan seperti ini.”Doug Meckelson, Pengasas & Presiden, Elder Wisdom Circle